Tuesday 31 May 2011

UDA HOLDINGS – Perlu Telus


Kerajaan mengarahkan UDA Holdings Bhd. menyediakan satu laporan lengkap mengenai kedudukan sebenar pelaksanaan projek pembangunan tapak bekas Penjara Pudu bernilai RM6.7 bilion yang menimbulkan kontroversi ketika ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan lengkap projek dikenali Bukit Bintang City Centre (BBCC) itu penting bagi memberi gambaran mengenai proses pelaksanaan projek tersebut yang didakwa meminggirkan syarikat bumiputera. 

Laporan itu, katanya, akan dibawa ke Kabinet untuk dinilai sama ada sistem pemilihan yang digunakan UDA bagi memilih syarikat pelaksana projek itu dibuat mengikut peraturan atau bertentangan dengan dasar sedia ada.

‘‘Saya membaca polemik antara Datuk Musa Sheikh Fadzir (Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang) dan beberapa Yang Berhormat lain mengenai UDA. Jawapan Pengerusi UDA (Datuk Nur Jazlan Mohamed) nampak tidak memuaskan hati. ‘‘Kita akan minta laporan lengkap daripada UDA sendiri untuk memaklumkan kepada kabinet apakah kedudukan sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini hari ini. 

Kemelut pembangunan bekas tapak Penjara Pudu mula hangat apabila pengurusan UDA Holdings Bhd. dikhabarkan berminat untuk melantik sebuah syarikat hartanah terkemuka dari China bagi membangunkan BBCC atas alasan tiada syarikat bumiputera yang layak. 

Bagaimanapun, Nur Jazlan memberi jaminan bahawa langkah tersebut tidak akan menjejaskan syarikat bumiputera kerana bakal wujud situasi menang-menang antara kedua-dua pihak. 

Musa pula dalam reaksinya meminta pengurusan UDA Holdings Bhd. supaya jangan membohongi rakyat kononnya tiada syarikat bumiputera yang layak kerana mendakwa, terdapat lima syarikat bumiputera yang mempunyai keupayaan serta kepakaran untuk membangunkan projek berkenaan. 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa tender sudah dibuka kepada beberapa syarikat dan ia akan diputuskan oleh pihak UDA dan Kementerian Kewangan. ‘‘Dalam hal ini, kita juga harus bersifat telus lebih-lebih lagi UDA merupakan sebuah agensi kerajaan dan tujuannya adalah membangunkan tanah.

Tapak yang disediakan pula adalah kawasan berharga tinggi yang sepatutnya dibangunkan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment