Tuesday 31 May 2011

Seeloknya Kerajaan Buat ‘Pembersihan’ Kakitangan Awam


Keputusan kerajaan untuk membekukan pengambilan kakitangan baru untuk perkhidmatan awam selama tiga tahun bermula bulan hadapan, sebenarnya adalah satu usaha yang sepatutnya telah lama dilakukan. Jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai hanya kerana ‘simpati’ dan desakan bagi mengurangkan jumlah mahasiswa menganggur, sebenarnya hanya membayangkan kelemahan kerajaan sendiri.
Walaupun kerajaan memperkenalkan urusan secara di atas talian atau online, sekaligus mengurangkan penggunaan kertas dan kerenah birokrasi, namun ia tidak banyak membantu mempercepatkan sebarang urusan dengan perkhidmatan awam. Ada-ada sahaja masalah yang melanda. Khususnya apabila membabitkan kes-kes lama seperti pencarian fail-fail berkenaan tanah.
Terlalu ramai kakitangan yang bertugas untuk satu tugas, juga menimbulkan kerenah birokrasi yang tidak sewajarnya ada. Bukan sedikit kes yang tertangguh kerana pegawai bercuti. Dan apabila pegawai tidak bercuti, pegawai di atas pegawai itu pula yang bercuti atau bermesyuarat atau berkursus.
Pembekuan pengambilan kakitangan awam yang baru seharusnya dituruti dengan pembersihan secara besar-besaran di dalam perkhidmatan awam. Kakitangan-kakitangan yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, seharusnya telah dikeluarkan daripada perkhidmatan awam. Begitu juga dengan kakitangan-kakitangan awam yang sangat cenderung dengan politik, sewajarnya diberikan peluang kepada mereka untuk terlibat sepenuh masa dengan berpolitik.
Tiada gunanya menyimpan kakitangan-kakitangan awam yang tidak mendokong dasar kerajaan atas alasan kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan yang mungkar atau tidak menjalankan dasar-dasar Islam. Seberapa banyak dasar kerajaan yang gagal diimplementasikan semata-mata kerana wujud kakitangan atau pegawai-pegawai kerajaan yang mengambil sikap sambil lewa dalam menjalankan tanggungjawab yang mereka sendiri minta. Sedangkan sebagai kakitangan atau pegawai awam, mereka seharusnya bebas daripada pegangan politik.
Walaupun mungkin kebebasan bersuara tidak boleh disekat, namun sekatan perlu dibuat terhadap sebarang pencabulan tanggungjawab yang sekarang ini dilakukan secara berleluasa di kalangan penjawat awam. Bahkan kerajaan perlu melakukan penyaringan terhadap kakitangan awam sekarang bagi memastikan yang benar-benar memberikan khidmat kepada orang ramai hanyalah golongan yang mahu bekerja, bukannya golongan yang mahukan keistimewaan sebagai penjawat awam, tetapi pada masa yang sama, menggunakan kedudukan mereka untuk mencapai sasaran politik.
Perhatikan sahaja siapa yang ada dalam PKR dan PAS. Kebanyakan golongan profesional yang menjadi pemimpin kedua-dua parti berkenaan pernah bertugas sebagai penjawat awam. Mungkin ia bukanlah satu kesalahan yang besar memandangkan kebanyakan daripada mereka tidak lagi berkhidmat dan menerima gaji daripada kerajaan. Namun bagaimana pula dengan kakitangan yang masih ada dalam perkhidmatan awam dan sangat aktif dalam kegiatan berparti sehingga terbawa-bawa di tempat kerja?
Kes melibatkan seorang juruaudit yang menyaman KEDA, sebenarnya adalah melibatkan kerenah pegawai-pegawai berparti politik yang ada dalam agensi kerajaan pusat tersebut. Begitu juga dengan pembahagian tanah dan pengambilan peserta dalam proses mengurangkan kemiskinan tegar di Kedah melibatkan agensi tersebut, dipengaruhi sepenuhnya oleh kuasa politik PAS dan PKR yang terdapat di dalam KEDA. Golongan yang dijadikan sebagai pegawai-pegawai kerajaan ini jugalah yang menyimpan segala masalah dan menyapu sebarang aduan tentang prestasi rakan-rakan separti yang  ada dalam agensi tersebut ke bawah permaidani.
Itu hanya baru satu contoh. Kalau hendak diberikan contoh, barangkali tidak cukup SELANGOR DAILY yang boleh menampung kesemua contoh-contoh tersebut.
Keadaan yang sama juga berlaku di Selangor membabitkan pengurusan Baitulmal dan Zakat. Walaupun secara dasarnya, Baitulmal dan pengagihan zakat melibatkan 8 asnaf yang Allah Taala sendiri tentukan, namun ia tidak dituruti sepenuhnya. Terdapat contoh-contoh di mana ibu tunggal yang mempunyai anak yang sakit dan memerlukan rawatan segera, ditolak permohonannya bagi mendapatkan bantuan Zakat dan Baitulmal tanpa sebarang alasan yang jelas. Sebaliknya bantuan diberikan kepada anak-anak pemimpin parti tertentu yang berketayap dalam bentuk biasiswa. Dan apabila ditanya, bantuan tersebut diberikan atas asnaf fisabilllah!
Mungkin juga seharusnya kakitangan awam yang mencabuli arahan dan peraturan tidak membenarkan mereka terlibat dalam politik, diterajang keluar dari perkhidmatan awam. Biarkan mereka melalak dan biarkan Pakatan Rakyat terutama sekali DAP dan PKR melolong kerana kehilangan penjawat dalam perkhidmatan awam. Atau setidak-tidaknya, biarlah Pakatan Rakyat yang menguasai empat negeri, mengambil penjawat-penjawat awam pengkhianat itu untuk berkhidmat di negeri masing-masing!

No comments:

Post a Comment